Sudah dua kali jumaat aku bersama Dr Laili, bossku menziarahi pesakit di wad paliatif. Kami ingin mendekati pesakit kanser untuk berkongsi rasa serta memberikan sokongan moral dan spiritual kepada mereka yang kebanyakkannya sudah di tahap akhir. Disamping tu boleh juga menyedarkan diri ini tentang nikmat kesihatan yang Allah berikan dan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan.
Pengalaman bertemu dengan adik Syamir sangat menyentuh hatiku. Kali pertama berjumpa dia dalam keadaan lemah dan menanggung kesakitan. Dia ditemani Suhana, kakaknya. Syamir, berumur 17 tahun, tengah menunggu keputusan SPM. Beliau disahkan mengidap kanser NPC ketika berumur 15 tahun. Telah menjalani rawatan radioterapi. Kini kanser telah merebak ketulang belakang dan pahanya. Kesian mendengarnya.
Kali kedua kami bertemunya, adik Syamir kelihatan ceria dan tersenyum. Kali ini dia ditemani ibu tercinta yang telah bercuti separuh gaji untuk menjaganya. Dalam keadaan sakit, dia masih tetap mengerjakan solat. Bila diingatkan supaya tetap bersabar di atas ujian Allah ini, dia berkata "tubuh kita hanyalah pinjaman daripada Allah. Allah akan ambil bila-bila masa saja." Begitu positif sekali kata-kata yang dituturkan oleh adik Syamir di atas apa yang diberikan Allah kepadanya. Ketabahan jelas tergambar diwajahnya.
Semoga adik Syamir terus diberikan kekuatan and ketabahan oleh Allah untuk menjalani kehidupan ini.

