Sunday, March 13, 2011

Pengalaman mendekati pesakit kanser

Sudah dua kali jumaat aku bersama Dr Laili, bossku menziarahi pesakit di wad paliatif. Kami ingin mendekati pesakit kanser untuk berkongsi rasa serta memberikan sokongan moral dan spiritual kepada mereka yang kebanyakkannya sudah di tahap akhir. Disamping tu boleh juga menyedarkan diri ini tentang nikmat kesihatan yang Allah berikan dan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan. 

Pengalaman bertemu dengan adik Syamir sangat menyentuh hatiku. Kali pertama berjumpa dia dalam keadaan lemah dan menanggung kesakitan. Dia ditemani Suhana, kakaknya. Syamir, berumur 17 tahun, tengah menunggu keputusan SPM. Beliau disahkan mengidap kanser NPC ketika berumur 15 tahun. Telah menjalani rawatan radioterapi. Kini kanser telah merebak ketulang belakang dan pahanya. Kesian mendengarnya.

Kali kedua kami bertemunya, adik Syamir kelihatan ceria dan tersenyum. Kali ini dia ditemani ibu tercinta yang telah bercuti separuh gaji untuk menjaganya. Dalam keadaan sakit, dia masih tetap mengerjakan solat. Bila diingatkan supaya tetap bersabar di atas ujian Allah ini, dia berkata  "tubuh kita hanyalah pinjaman daripada Allah. Allah akan ambil bila-bila masa saja." Begitu positif sekali kata-kata yang dituturkan oleh adik Syamir di atas apa yang diberikan Allah kepadanya. Ketabahan jelas tergambar diwajahnya.

Semoga adik Syamir terus diberikan kekuatan and ketabahan oleh Allah untuk menjalani kehidupan ini.

Tuesday, March 8, 2011

Mencipta Syurga Rumah Tangga

Keamanan dan kesejahteraan dunia yang luas ini bermula daripada keharmonian sebuah rumah tangga. Oleh sebab itulah Allah SWT telah menegaskan dalam maksud firmanNya : "Selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka".. baca SOLUSI No.29

Tuesday, March 1, 2011

Tazkirah dari pohon mangga

Pohon mangga yang ditanam suamiku di hadapan rumah sudah berusia lebih kurang 3 tahun. Pohonnya boleh dikatakan sangat rendang, lebat daunnya. Tapi bila diingat-ingatkan baru sekali pohon mangga itu berbuah;  itu pun hanya 3 biji. Sudah beberapa kali dicantas dahannya untuk mengelakkan terlebih rendang sehingga menyentuh pagar depan rumah dan menyusahkan abang posmen mencari alamat rumah. 

Pohon mangga jiran pula, taklah berapa rendang dan masih muda usianya. Tapi sudah beberapa kali berbuah. Melihatkan perbezaan yang sangat ketara ini maka kami pun merasakan sudah tiba masanya untuk pohon mangga itu ditebang kerana tidak memberikan hasil selama ini. Tetapi terfikir juga, walaupun ia tidak berbuah tetapi masih lagi dapat memberikan bekalan oksigen kepada kami. Dan juga menjadi tempat burung membuat sarang dan berehat.

Suamiku membuat keputusan untuk menebang saja pohon mangga tersebut. Dengan penuh bersemangat sekali dia meghayunkan pisau ke batang mangga. Terkoyaklah lapisan kulitnya... dengan niat untuk membunuh pohon mangga secara perlahan-lahan. 

Kalaulah kami dapat mendengar rintihan pohon mangga, alangkah sedihnya rasa hati.
"Aduh! aduh!, sakitnya. Sampai hati kalian ingin menebang saya." Agaknya begitulah bunyinya rintihan pohon mangga yang malang.

Selang beberapa hari, alangkah terkejutnya apabila kami dapati pohon mangga mengeluarkan pucuk dan juga gugusan bunga yang banyak. Eh.. ingatkan akan mati..Rupanya pantang mati sebelum ajal.

Tadi aku mengira bilangan buah mangga yang dihadiahkan pohon mangga yang malang; lebih kurang 40 biji semuanya. Banyak tu..

Alangkah baiknya pohon mangga, menghadiahkan buah yang banyak walaupun badannya disakiti .... Kita pula bagaimana?